Program FBKT Cakna Komuniti

FBKT Cakna Komuniti telah diadakan buat julung kalinya pada 26 November 2022, bertempat di Lata Renyuk, Jeli Kelantan. Program ini merupakan satu program khidmat masyarakat yang bertujuan membawa warga FBKT mendekati komuniti di Kampung Renyuk, Jeli Kelantan.

Acara dimulakan dengan sarapan pagi, diikuti dengan satu majlis ringkas untuk meraikan kehadiran warga Kampung Renyuk dalam program ini. Majlis dimulakan dengan ucapan daripada Dekan FBKT, Prof. Madya Dr. Muhammad Azwadi Sulaiman, diikuti dengan satu perkongsian ringkas daripada @pakardiFBKT Prof. Madya Dr Muhamad Hazim, berkenaan kepentingan hutan kepada manusia. Kemudian, majlis diteruskan dengan perkongsian ringkas daripada Prof. Madya Dr. Wan Faizal berkenaan bagaimana FBKT boleh membantu komuniti di sana. Beliau berkongsi berkenaan projek komuniti sedia ada seperti pembuatan perabot daripada buluh, penghasilan arang dan projek penamanan kunyit hitam. Setelah itu, sumbangan 50 anak pokok kunyit hitam telah disampaikan kepada penduduk kampung melalui wakil mereka, En Alias. Bersempena dengan program ini, satu kutipan wang untuk membeli keperluan asas bagi asnaf Kampung Renyuk juga telah diadakan selama sebulan. Barang keperluan asas seperti beras, gandum, gula dan sebagainya dibelikan menggunakan wang sumbangan ini dan disampaikan melalui Ketua Kampung Renyuk. Pihak fakulti mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua penyumbang perseorangan daripada warga FBKT, warga UMK, sumbangan individu luar UMK, syarikat O&E Technologies Sdn. Bhd. dan syarikat One Resources Sdn. Bhd.

Seterusnya, acara sukaneka diadakan bagi mengeratkan hubungan di antara semua warga FBKT dan warga Kampung Renyuk. Setelah itu, satu sesi gotong-royong membersihkan kawasan sekitar Lata Renyuk telah berlangsung menandakan kerjasama yang terjalin di antara warga FBKT dan warga Kampung Renyuk. Objektif program ini telah tercapai dan wakil daripada Kampung Renyuk menyatakan keterbukaan hati mereka untuk menerima kunjungan FBKT bagi program-program yang akan datang dan mengharapkan hubungan kerjasama antara FBKT dan Kampung Renyuk akan terus termeterai.

Dr. Wan Suriyani Faliq Adeeba Binti Wan Ibrahim